Saturday, September 4, 2010

KEM LONJAK JAYA BAHASA MELAYU

Pengenalan
Pada tanggal 4 September 2010, Panitia Bahasa Melayu telah mengadakan satu program yang sangat berguna buat murid-murid yang bakal menduduki UPSR tidak lama lagi. Program ini diberi nama "Kem Lonjak Jaya Bahasa Melayu". Seramai 110 orang murid dan 23 orang guru Bahasa Melayu sekolah ini telah menyertai kem ini.


Matlamat
Matlamat kem ini adalah untuk memantapkan lagi penguasaan Bahasa Melayu khususnya penulisan bagi 2 kumpulan murid iaitu kumpulan sederhana dan kumpulan "hampir lulus". Adalah diharapkan dengan bantuan guru-guru fasilitator dan rakan-rakan kumpulan, murid-murid sederhana dapat melonjak ke gred A dan murid-murid "hampir lulus" mampu peroleh sekurang-kurangnya gred C.

Konsep Kem
Konsep "Kem Lonjak Jaya Bahasa Melayu" adalah sama dengan English Camp dimana Output murid diutamakan iaitu kebolehan menjawab soalan murid dititikberatkan. Murid-murid dibimbing oleh guru-guru fasilitator untuk menjawab soalan-soalan Bahagian A, B, dan C Kertas Bahasa Melayu Penulisan. Hasil murid dalam kumpulan dibentangkan oleh murid untuk tatapan rakan-rakan yang lain dan juga semakan guru. Jawapan dipamerkan untuk perkongsian semua murid.

Perjalanan Galeri ( Gallery Walk )
Murid-murid dibekalkan soalan-soalan yang berlainan supaya lebih banyak topik dapat diliputi dalam kem sehari ini. Hasil jawapan murid yang telah disemak oleh fasilitator dipamerkan untuk bacaan kumpulan-kumpulan yang lain. Konsep gallery walk telah digunakan supaya semua murid dapat membaca jawapan murid-murid lain.

Konsep 1 Malaysia
Program ini juga diterapkan konsep 1 Malaysia yang hangat diwar-warkan sekarang. Murid-murid Melayu tahun 6 seramai 12 orang telah dimasukkan dalam kumpulan iaitu setiap kumpulan diketuai oleh seorang murid Melayu. Murid Melayu tersebut berperanan membimbing rakan-rakan Cina yang lain dalam usaha menjawab soalan. Dari pemerhatian saya, murid-murid ini boleh berinteraksi antara satu dengan lain dengan baik.

Cadangan Program Akan Datang
Maklumbalas dari guru-guru adalah positif dan merangsangkan. Mereka telah mencadangkan agar program seumpama ini dapat diperluaskan ke murid tahun 5. Perkara ini akan ditimbangkan dengan wajarnya pada mesyuarat post-mortem akan datang.

No comments:

Post a Comment